Solat sunat Dhuha
Pengertian solat sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang galah (kira-kira 20 minit selepas terbit matahari) hinggalah matahari berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).
Kelebihan solat sunat Dhuha
Sebaik-baiknya solat Dhuha ini dikerjakan setiap hari kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya, dimana seseorang itu akan memperolehi keampunan Allah SWT, murah rezeki dan ketenangan jiwa serta kehidupan.
- Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”
- Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.” (HR At-Tabrani)
- Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadits lain dari Nuwas bin Sam’an, “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.” (HR. Haklim dan Tabrani).
Cara solat sunat Dhuha
Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua (2) rakaat sahaja atau boleh diulang sehingga enam (6) kali solat. Bacaan dalam solat dibolehkan membaca sebarang surah. Namun begitu dicadangkan untuk membaca Surah Ash-Shams pada rakaaat pertama dan pada rakaat kedua Surah Ad-Dhuha.
Niat
“Aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala”
Surah-surah untuk dibaca
Surah Ash-Shams
Surah Ad-Dhuha
Doa selepas solat
“Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu, adalah waktu dhuha (milikMu), pancaran cahaya adalah pancaran cahaya (milik)Mu, (Segala) KecantikanMu itu adalah kecantikan (milik)Mu, (Apapun) Kekuatan adalah kekuatan (milik)Mu, (Apa juga) qudrat adalah qudratNya, dan (segala) perlindungan itu adalah (datang dari) pelindunganNya. Ya Allah sekiranya rezekiku ada di langit maka turunkanlah ia, jika ada di bumi keluarkanlah ia, Jika ia sukar (Kau) mudahkanlah, Jika ia kotor (Kau) suci bersihkanlah, Jika ia jauh dekatkanlah, dan jika ia hampir maka permudahkanlah, dengan kebenaran dhuhaMu, pancaran cahayaMu, KecantikanMu, KekuatanMu dan QudratMu, Berikanlah aku apa yang telah Kau telah berikan (kepada) hamba-hambaMu yang soleh.”
Rujukan
Panduan ini diambil dari
- Panduan Solat Sunat Universiti Sultan Zainal Abidin. Boleh terus muat turun dan letak di rumah.
- shafiqolbu
Kembali ke senarai solat sunat dan cara mengamalkannya